Saturday, September 05, 2009

Cantik makanan pada hiasan



Sekiranya seri pengantin perempuan ialah pada handalnya mak andam menyesuaikan pakaian dan solekan dengan wajah dan badan pengantin itu, maka sedapnya rupa makanan ialah sehandal mana tukang masak mengikut cara dan hiasannya.

Tidaklah susah sangat untuk menghias makanan.

Friday, July 10, 2009

Ikan kerapu kukus



Bahan-Bahan:
1 ekor ikan bawal putih / kerapu
1 hiris halia
2 ulas bawang putih
1 tangkai daun bawang
1 tangkai daun ketumbar
2 sudu kecil taucu (jika suka)
2 kaki cendawan (kulat)
1 sudu besar minyak
1 sudu kecil kicap cair
Garam dan lada sulah (secukup rasa)

Cara:
Biarkan cendawan berendam dengan air.
Sediakan pengukus.
Sediakan ikan.
Bersihkan ikan, jangan memotong sirip dan ekornya terlalu pendek.
Perasakannya dengan garam dan lada sulah.
Sediakan sayur-sayuran.
Cincang bawang putih dan taucu, mayang halia dan cendawan, potong daun bawang sepanjang 4 cm dan petik daun ketumbar.
Letakkan ikan dalam pinggan enamel.
Taburkan bawang putih, halia, cendawan dan taucu di atas ikan.
Tuang 1 sudu besar air, minyak, kicap cair & sedikit lada sulah ke atas ikan itu.

Memasak ikan.
Kukus ikan selama 10-20 minit bergantung kepada saiz ikan itu.
Apabila telah masak pindahkan ke dalam pinggan bujur yang suam perlahan-lahan serta hiaskan pula dengan daun bawang & daun ketumbar.
Hidangkan semasa panas.

SELAMAT MENCUBA!

Sumber: http://resepi.mesra.net

Cincalok, budu dan tempoyak





Berikut ialah formula gambar di atas menurut resipi taburan daerah:
Cincaluk > Melaka
Budu > Kelantan
Tempoyak > Perak

Walau pun saya berasal dari Melaka, namun budu yang paling popular. Tempoyak pernah juga saya guna untuk memasak gulai ikan patin.

Cincalok masih belum popular lagi...

Saturday, March 21, 2009

Nasi kerabu



Bagi mereka yang bukan berasal dari Kelantan, tidak ramai yang gemarkan budu.

Walau bagaimana pun, mereka yang tidak gemarkan budu itu gemar memakan nasi kerabu apabila mereka berkunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Mungkin mereka tidak menyangka antara bahan mandatori yang ada dalam nasi kerabu ialah budu yang mereka tidak gemar itu!

Suami saya memang sukakan budu dan juga nasi kerabu.

Hendak tahu kenapa? Sebab beliau memang berasal dari pantai timur Semenanjung!

Friday, March 20, 2009

Gunakan bahan yang segar



"Gunakan bahan yang segar apabila memasak!"

Itulah antara pesanan yang baik yang selalu diambil kira oleh para suri rumah yang bijak serta tukang masak seantero dunia.

Bagi para pembaca yang terdiri dari kaum bapa dan wanita yang berkerjaya pesanan yang sama pun elok diambil perhatian.

Tuesday, March 17, 2009

Saya suka makan sayur



Antara makanan yang perlu ada dalam diet seharian kita ialah sayur-sayuran dan buah-buahan, kerana bahan ini memberikan bekalan serat yang penting untuk kesihatan kita.

Namun begitu, bagi saya untuk meyakinkan hakikat ini kepada anak-anak zaman sekarang adalah sesuatu yang sangat mencabar.

Para pembaca suka makan sayur?

Bila saya mula memasak?



Semasa saya masih di bangku sekolah rendah lagi saya sudah memasak.

Walau pun kami ada lima beradik (perempuan), namun entah mengapa saya yang sering memasak.

Emak saya pun lebih mempercayai saya untuk memasak daripada kakak-kakak saya.

Kini, setelah lebih 28 tahun hidup berkeluarga dan mempunyai tujuh orang anak, saya masih memasak.

Oleh sebab anak-anak saya, suami saya dan semua mereka yang pernah merasa masakan saya mengatakan masakan saya sedap, maka saya percaya walau pun masakan saya tidak mencapai taraf masakan para chef profesional yang bertugas di hotel lima bintang, sekurang-kurangnya masakan saya boleh dikatakan 'boleh tahan' jugalah.

Saya amat menghargai usaha anak dan suami saya membantu saya dalam arena blogging ini, kerana dapatlah saya berkongsi pengalaman memasak dengan para pembaca yang budiman.